Nuffnang Ads

Saturday 4 January 2014

Perjalanan Baginda Rasulullah ke Syam dan Perkahwinan Baginda dengan Saidatina Khadijah

Mengikut apa yang diceritakan oleh Ibnu Athir dan Ibnu Hisyam bahwa Khadijah Radiyallahu 'anha adalah seorang saudagar yang masyhur serta terkenal dengan kemuliaan budi dan kekayaan harta. Sebilangan besar dari orang-orang Arab di masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.

Bila mana Khadijah mendengar berita perihal peribadi Nabi Muhammad yang mulia dan akhlak yang terpuji itu dia terus mempelawakan kepada Nabi Muhammad S.A.W supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi keuntungan yang lebih dari yang pernah diberikannya kepada orang lain. Untuk mengiringi baginda dalam usaha perniagaan nanti baginda akan dibantu oleh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah. Tawaran itu telah diterima baik oleh Muhammad S.A.W dengan penuh kerelaan hati. Baginda terus belayar ke negeri Syam untuk menjalankan urusan perniagaan bersama Maisarah budak suruhan Khadijah. Dalam perniagaan ini baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Bila baginda kembali bertemu Khadijah dengan keuntungannya tadi, baginda terus menyerahkan kepada Khadijah apa yang perlu dan patut diserahkan dengan penuh amanah. Semasa di negeri Syam, Maisarah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawan dengan budi pekerti baginda yang mulia dan segala-galanya ini terus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawan dengan keamanahan dan budi pekerti yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah keuntungan yang berlipat kali ganda yang diperolehinya dengan berkat baginda.

Dengan perantaraan Nafisah Binti Manbah, Khadikah telah menawarkan dirinya kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh Muhammad S.A.W dengan tidak membuang masa, baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya 'Amru Bin Asad. Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Dikala itu Rasulullah S.A.W berusia genap 25 tahun sedang Khadijah berusia 40 tahun.

Petikan dari Kitab Fiqh Al-Sirah karangan Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti